Ruangkan ini akan dilengkapkan dengan sejarah dan fakta berkaitan Bandar Baru Bangi
akan dikemaskini dari masa kesemasa.
Maklumat dari Berita Harian pada tahun 2015 bertajuk Bangi tempat putera terbuang
Oleh Bennie Zie Fauzi (bennie@bh.com.my)
Serai wangi jadi Bangi
Rujuk sini untuk laman sawang asal Bangi Seperti Laporan Berita Harian 2015
akan dikemaskini dari masa kesemasa.
Maklumat dari Berita Harian pada tahun 2015 bertajuk Bangi tempat putera terbuang
Oleh Bennie Zie Fauzi (bennie@bh.com.my)
BANGI terletak kira-kira 40 kilometer (km) ke selatan Kuala Lumpur semakin pesat membangun. Lokasinya semakin strategik kerana berhampiran Kajang dan Bandar Baru Bangi serta tidak jauh daripada Putrajaya, Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta banyak pusat pengajian tinggi dan swasta yang berpusat di sini.
Banyak versi menceritakan pemilihan nama Bangi, namun bukan semua direkodkan kerana gagal mengemukakan sumber sahih selain bukti meragukan.Ditambah pula, Bangi kini semakin berkembang pesat sekali gus menggamit orang luar memilihnya bukan sahaja sebagai tempat untuk menetap malah membina perniagaan.
Salah seorang penduduk asal, Zainal Harun, 76, mengaku sukar mencari sumber tepat yang boleh dijadikan rujukan kukuh bagi mengenal pasti asal usul Bangi, namun seingatnya, sebelum pembukaan ladang getah Broome milik seorang Inggeris sekitar 1905, nama itu terlebih dulu meniti dari bibir ke bibir.
"Nama Bangi itu sudah wujud sebelum zaman penjajahan Inggeris lagi dan kawasannya sangat luas meliputi Kampung Buah, Kampung Sungai Kembung, Kampung Rinching Hilir hingga membawa ke Batu Lima, " katanya yang juga keturunan ketiga Melayu Deli iaitu antara penduduk awal bandar Bangi.
Menurutnya, satu cerita turun temurun yang hingga kini melekat di hatinya adalah Bangi dipercayai berasal dari perkataan `bangai' yang membawa maksud terbuang atau disingkirkan sebagaimana pernah diceritakan oleh Allahyarhamah Yang Jamil (1928 - 2008) iaitu anak kepada Daeng Jamil yang cucu kepada Daeng Abdul Ghani, anakanda Sultan Abdul Samad.
Diceritakan pada ketika itu berlaku pertelingkahan di Istana Klang yang berakhir dengan sebahagian warga istana diusir keluar. Daeng Jamil dikatakan membawa diri ke Johor sebelum mengambil keputusan menetap di Tanjung Selabu, Muar.
"Mereka diusir dari istana memulakan penempatan baru di sebelah tenggara Selangor iaitu daerah Hulu Langat. Tempat itu kemudiannya dikenali sebagai kawasan orang-orang Istana `terbangai' atau terbuang.
"Namun disebabkan kesilapan British menelaah tulisan jawi, yang sepatutnya berbunyi `bangai' diterjemahkan pula menjadi Bangi dan ia kekal hingga hari ini.
"Perkataan itu mungkin berasal dari Indonesia, Sumber ini lebih meyakinkan kerana kebanjiran penduduk berketurunan Minang, Mandailing dan Kerinchi yang memilih membina penempatan di sini," katanya.
Pendapat tidak kurang meyakinkan menyebut perkataan Bangi merujuk bau harum tubuh anak kecil selepas mandi yang dipertuturkan dalam telo Jawa. Sementara, versi lain membawa kepada penerokaan awal bukit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menyaksikan kemusnahan hutan tebal tempat bermastautin makhluk halus.
Kononnya, menjelang senja, bau wangi menyucuk hidung menyebar seluruh kawasan menyebabkan penduduk kampung menyembunyikan diri dalam rumah. Namun, kalangan penduduk tempatan percaya, penempatan makhluk halus itu sudah dialihkan ke sebuah hutan di Pahang oleh seorang pengamal perubatan Islam terkenal.
Pendapat lain direkodkan anak Zainal, Faizal yang mendengarnya melalui cerita mulut daripada orang tua-tua yang mendakwa nama Bangi diambil sempena tumbuhan `serai wangi' yang dikatakan dulunya tumbuh meliar di sekitar tebing sungai Bangi.
"Namun, perubahan sebutan dari wangi kepada Bangi boleh dipertikaikan kerana tiada sebab penduduk asal yang kebanyakannya berketurunan Minang dan Mendailing bertutur pelat hingga menukar sebutan wangi menjadi bangi," katanya turut menyentuh mengenai ketidaksepakatan masyarakat ketika itu namun jurang komunikasi semakin rapat selepas kedatangan Inggeris yang turut membawa bersama nilai kemodenan.
Faizal juga turut menyatakan bahawa kemungkinan nama Bangi yang berasal daripada perkataan `babangai' membawa maksud bau hanyir ikan kering yang dulunya dijemur di tebing sungai serta sawah dan secara kebetulan, memang banyak kawasan sawah kecil di sekitar Bangi ketika itu.
"Tapi ini juga boleh dipertikaikan kerana tidak pernah wujud perkataan `bangai' yang merujuk kepada bau baik dalam bahasa Melayu mahupun dipertuturkan suku Minang serta Mendailing.
"Bagi masyarakat Banjar, `babangai' adalah gelaran bagi tarian tradisional mereka, manakala penduduk Melayu di Pantai Timur menyebut `busuk bangor' untuk bau menyengat dan busuk ikan kering," kata Faizal sambil dipersetujui ayahnya.
Bangi lama dan baru Tiada istilah tertentu membezakan Bangi lama dengan Bandar Baru Bangi kerana pekan lama yang terletak di selatan daerah Hulu Langat itu sejak pembukaannya pada awal abad ke-20 memang dikenali dengan nama Bangi.
Laporan ini disokong Zainal yang menjelaskan gelaran bandar baru hanya timbul hanya selepas penutupan Ladang Getah Kajang ataupun nama asalnya West Country Estate bagi memenuhi hasrat kepemimpinan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak untuk menjadikannya bandar.
Luas keseluruhan ladang itu adalah 5,118 ekar dan dibuka pada 1905, menjadikan ia sebagai estet getah pertama dibuka di Selangor.
Bagaimanapun, pemiliknya terpaksa akur dengan keperluan Dasar Ekonomi Baru yang mula diperkenalkan pada 1971 khusus membangun serta menyusun semula penempatan kaum Melayu di bandar.
Proses pengambilan tanah dilakukan kerajaan secara berperingkat mulai tahun 1972 hingga 1978 dengan pembukaan bandar dilancarkan pada 1974. Pembangunan Bandar Baru Bangi bermula dengan Seksyen 1 membabitkan pembinaan rumah kos rendah, sederhana dan tinggi yang berjumlah 200 unit.
Kerja-kerja membangunkan kawasan ini berakhir pada 2007, dengan pembinaan 11,040 unit kediaman, 308 unit kedai, 43 unit kilang dan sebuah kompleks pejabat.
"Sejak bandar baru ini dibuka, Bangi asal terletak enam kilometer dari Bandar Baru Bangi sekarang dikenali sebagai Bangi Lama khusus membezakan kedua-duanya. Walhal pekan ini hanya dinamakan Bangi saja, mana ada Bangi Baru dan Lama," katanya.
Antara peninggalan bangunan yang masih wujud di Bangi lama ialah Stesen Keretapi Bangi yang dibuka pada tahun 1905 namun kini diubah namanya menjadi stesen kereta api Kajang dan masih aktif sebagai laluan komuter manakala balai polis dulunya dikenali dengan rumah pasung dalam kalangan masyarakat tempatan lantaran menjadi tempat menghukum dan memenjarakan penjenayah.
INFO
- Pekan Bangi dibuka pada tahun 1906 menawarkan 18 deretan kedai Melayu menjual songkok dan capal, candu, timah, getah, kedai kopi dan sebagainya. Pernah terbakar namun dibangunkan semula kerajaan Inggeris dan kontraktor Cina pada tahun 1926.
- Masjid Bangi dibina pada tahun 1941 dengan binaan kayu, kemudian dibangunkan kembali pada tahun awal 70-an merujuk seni bina masjid rasmi kerajaan ketika itu
Rujuk sini untuk laman sawang asal Bangi Seperti Laporan Berita Harian 2015